FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli


PENTERNAK babi didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan menyembelih haiwan ternakannya di kawasan penyembelihan haram yang boleh mendatangkan risiko perebakan penyakit, pada 29 Januari lalu.

M Nadarajan, 47, selaku Orang Kena Saman mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Mengikut fakta kes, Nadarajan didakwa melakukan penyembelihan babi di bangsal yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dijual kepada orang awam.

Sekiranya haiwan ternakan disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan, pihak JPV akan melakukan pemeriksaan ke atas haiwan yang disembelih terlebih dahulu sebelum mengesahkan haiwan berkenaan sihat dan selamat digunakan oleh orang awam atau sebaliknya.

Namun, bagi kes OKS, dia didapati menyembelih babi ternakannya di luar rumah penyembelihan dan mengakibatkan ia tidak diperiksa dan diragui kesihatan ternakan berkenaan.

Kesalahan OKS boleh menyebabkan perebakan penyakit Zoonotik iaitu penyakit jangkitan dari haiwan kepada manusia seperti Japanese Encephalitis (JE), tibi dan Salmonellosis.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Baru Sungai Buloh pada 9.30 malam dan serbuan JPV ketika itu turut merampas sebanyak 281 kilogram (kg) daging karkas babi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JPV, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala OKS tidak diwakili peguam.

Tuan Anuar Sulzi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas OKS bagi memberi pengajaran kepada penternak lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“Kesalahan OKS adalah sangat serius kerana mendatangkan risiko perebakan dan jangkitan virus Zoonotik kepada orang awam.

“Bangsal yang digunakan OKS untuk menyembelih haiwan ternakannya juga didapati tidak sesuai untuk dijalankan aktiviti penyembelihan dan berada dalam keadaan yang sangat kotor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 1:36 PM