ANTARA individu dipercayai penagih dadah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak Tengah dalam Ops Perdana di beberapa lokasi di sekitar Seberang Perak dan Bota. FOTO Ihsan AADK
Noor Hidayah Tanzizi


IBU cuba meraih simpati dengan memberikan pelbagai alasan kepada anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya dua anak lelakinya tidak ditahan dalam serbuan di rumah di Bota, hari ini.

Antara alasan yang diberikan adalah anak tidak sihat dan sudah berubah, namun selepas diberikan penjelasan oleh anggota bertugas, wanita berkenaan terpaksa akur dua anaknya itu ditahan.

Difahamkan, dua beradik yang berusia 25 dan 27 tahun itu sudah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak remaja dan ketika ditahan mereka juga sedang khayal dipercayai baru saja menghisap dadah.

Ketua Pegawai AADK Perak Tengah, Nur Huwaina Ahmad berkata, dua beradik berkenaan antara 17 individu yang ditahan dalam Ops Perdana bermula 6 pagi semalam sehingga 3 pagi, hari ini.

Menurutnya, operasi dijalankan di beberapa lokasi yang dikenal pasti di sekitar Seberang Perak dan Bota.

“Semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 52 tahun dan mereka semua didapati positif morfin serta methamphatemine hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang rampasan dadah dilakukan dalam serbuan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dan Seksyen 6(3) akta sama.

Nur Huwaina berkata, AADK Perak Tengah sentiasa mengalu-alukan maklumat awam bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan untuk kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurutnya, keluarga juga diminta untuk memberikan kerjasama kepada anggota bertugas supaya ahli keluarga yang terbabit dengan dadah dapat diberikan rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 1:51 PM