Laporan portal Harian Metro semalam
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SIASATAN di lapangan ketika ini mendapati rakaman video itu tidak berlaku di Kuala Terengganu,” kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof mengenai kehadiran seekor buaya.

Menurutnya, beberapa anggota PERHILITAN sudah ke lokasi yang dimaksudkan iaitu di kawasan tambatan banjir di Kampung Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus bagi menyiasat mengenai kebenaran dakwaan yang dibuat di media sosial itu.

“Bagaimanapun, hasil soal selidik ke atas penduduk setempat, mereka memaklumkan tidak tahu mengenai kejadian itu.

“Secara kesimpulannya, kami menyifatkan video itu bukan dirakam di lokasi yang dimaksudkan dan berkemungkinan ia tidak berlaku di negeri ini.

“Walaupun begitu, PERHILITAN akan membuat pemantauan di semua kawasan bagi memastikan keselamatan orang ramai daripada haiwan liar yang mengancam keselamatan selain akan menjalankan siasatan susulan dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku di negeri ini.

“Kami berharap orang ramai khususnya penduduk Kampung Baroh, Tok Jiring tidak berasa cemas dan bimbang mengenainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Dr Abdul Malek, pihaknya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada PERHILITAN sekiranya berlaku kejadian seperti itu supaya tindakan segera boleh diambil demi menjaga keharmonian penduduk.

“Jangan cepat tularkan viddeo yang tidak terbukti kesahihannya kerana dibimbangi menimbulkan perasaan cemas penduduk.

“Sebaiknya video atau laporan mengenai apa-apa kejadian yang membabitkan haiwan liar di negeri ini diserahkan kepada PERHILITAN untuk siasatan dan diambil tindakan,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan PERHILITAN sedang menyiasat kesahihan video menunjukkan seekor buaya tembaga didakwa menyusuri tali air di Kampung Baroh, Tok Jiring.

Video berdurasi 48 saat itu menunjukkan reptilia sepanjang dua meter itu tular di media sosial sejak semalam dan ia didakwa berlaku di kawasan tambatan banjir di kampung berkenaan.

Berita berkaitan

Siasat video buaya di tali air [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:56 PM