SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) berkenan melawat gerai pameran selepas perasmian PIEX 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Mohd Hafizee Mohd Arop


PAMERAN hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) yang diadakan di Perak bagi siri terakhir tahun ini menampilkan kelainan apabila diadakan secara kerjasama dengan Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19)

Bertempat di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pameran dikenali sebagai MyRumah Perak-Ku 2019 menawarkan pelbagai projek perumahan baharu di Ipoh, Lembah Meru dan Ulu Kinta.

MyRumah yang diadakan selama empat hari bermula hari ini mengetengahkan penggabungan elemen 4P iaitu pameran (exhibition), pengalaman (experience), pendidikan (education) dan persekitaran (environment) bagi menarik pengunjung mengunjungi gerai pameran.

Sebanyak enam pemaju menyertai pameran kali ini iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN), Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Casa Subang Sdn Bhd, Kinta Properties Sdn Bhd, Sunway Property Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.

Manakala tiga bukan pemaju yang menyertai pameran kali ini adalah Amanah Raya Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS).

Terdahulu, perasmian PIEX’19 disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Pengurus Besar Jualan Pengiklanan-Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew berkata, Kumpulan Media Prima dan NSTP terus komited menjadikan pameran MyRumah sebagai pameran hartanah terulung di negara ini.

Katanya, pameran itu menawarkan pelbagai projek perumahan yang memberi manfaat kepada rakyat negara ini terutama golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman sendiri dengan harga mampu milik serendah RM70,000.

Menurutnya, selain itu, pengunjung yang hadir turut memperoleh ilmu hartanah melalui program disediakan dengan menampilkan pakar hartanah serta kewangan yang akan berkongsi tip memiliki hartanah.

“Pameran ini turut menyediakan program lain bagi memberi ilmu hartanah kepada pengunjung dan diharap orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran kali ini,” katanya.

Pengunjung yang membeli rumah pada pameran ini dan memperoleh kelulusan pinjaman turut berpeluang menyertai Cabutan Bertuah Perdana yang menawarkan hadiah utama Nissan Almera.

Pelbagai program turut disediakan terutamanya pada Sabtu dan Ahad dengan menampilkan pakar hartanah serta selebriti antaranya Ahyat Ishak, Izhairil Jufri, Martinah Marzuki, Azrina Torman, Mohd Azman Ishak dan Maria Tunku Sabri.

Antara tajuk ilmu hartanah akan disampaikan antaranya adalah Perancangan Pewarisan, Panduan Kepada Pembeli Rumah, Tak Kenal Maka Tak Selamat: Kenali Peluang dan Perangkap Hartanah serta lapan Strategi Mudah Beli Rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:53 PM