Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh pelajar sebuah pusat tahfiz. FOTO Bernama
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh pelajar sebuah pusat tahfiz di Kuala Kaung, Lanchang, pada 7 November lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang berusia 13 tahun itu sebaliknya mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ti Pei Si.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, di asrama Madrasah Maahad Tahfiz Nahfah Syubban Addiniyah, Kampung Kuala Kaung, Lanchang.

Mereka melakukan kesalahan itu antara 11 pagi hingga 1.30 tengah hari.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun bagi pesalah kanak-kanak jika didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka tidak akan dikenakan hukuman mati sebaliknya diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala kedua-dua tertuduh yang memakai baju T merah dan berseluar sukan itu tidak diwakili peguam.

Prosiding itu turut dihadiri ibu bapa mereka.

Ti kemudiannya menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan untuk tertuduh melantik peguam.

Media pada 8 November lalu melaporkan Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang sekitar 1.30 tengah hari, ditemui dalam keadaan lemah oleh warden di dalam bilik asrama pusat tahfiz berkenaan.

Laporan bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) mengesahkan sebab kematian Mohammad Aimin adalah disebabkan trauma akibat permukaan atau objek tumpul pada dada dan abdomen mangsa.

Berita berkaitan

'Reman 3 pelajar tahfiz dilanjutkan'

'Ya...Aimin memang manja'

Cemburu rupanya...

'Periksa dulu status pusat tahfiz - TPM'

'Warden terkejut ada lebam'

'Pusat tahfiz diarah tutup'

'Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:28 PM