Anggota bomba membantu mengeluarkan kuda jantan yang terperangkap selepas terjatuh ke dalam lubang. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


SEEKOR kuda jantan cedera kaki dan kepala selepas terjatuh ke dalam lubang di sebuah sekolah antarabangsa di Taman Rimba Templer, Rawang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.35 pagi tadi.

“Lapan anggota termasuk BBP Selayang bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kuda jantan berusia setahun itu terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira satu meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidi berkata, kuda itu dipercayai terperangkap di dalam lubang terbabit kira-kira dua jam sebelum berjaya dikeluarkan bomba.

“Kami mengambil masa 30 minit mengeluarkan kuda itu menggunakan tali yang diikat pada badannya sebelum dibawa naik 1 tengah hari.

“Kejadian itu menyebabkan kaki dan kepala kuda terbabit cedera kerana pergerakannya di dalam lubang yang sempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 4:08 PM