REAKSI Jeck Seng yang memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“HARI ini bukan Jeck Seng yang kuat, tapi Barisan Nasional (BN) yang kuat,” kata calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di Dewan Jubli Intan, Pontian, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan memenangi PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan rakan dalam PAS yang membantu kempennya.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada jentera parti BN yang bertungkus lumus membantu.

"Ini termasuk UMNO Bahagian Tanjung Piai yang membantu saya dalam memastikan kemenangan dalam PRK ini," katanya pada sidang media di Dewan Jubli Intan.

Katanya, beliau komited meneruskan agenda membantu masyarakat di kawasannya.

"Walaupun sebagai pembangkang, saya akan terus membantu orang di kawasan saya (pengundi).

"Saya terhutang budi dan akan membalas budi kepada pengundi saya," katanya.

Sementara itu, Wee berkata, langkah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan calon MCA sebagai langkah tepat.

"Kesatuan ini membawa hasil dengan kemenangan majoriti lebih 15,000 undi.

"Ia mesej yang cukup jelas dan momentum ini diharap dapat dikekalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:08 PM