WAN Azizah. FOTO Arkib NSTP
Shaarani Ismail


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akur dengan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang diumumkan, malam ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah keputusan dan kehendak rakyat serta pengundi di Tanjung Piai.

“Kami hormat pilihan yang sudah dibuat pengundi. Kami menerimanya.

“Jika ada kekurangan (daripada PH) kami akan cuba perbaiki dan kalau ini keputusan daripada rakyat, kita terima,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dan merasmikan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Ipoh, hari ini.

WAN Azizah (tengah) hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali, di Dataran Ipoh. FOTO Effendy Rashid

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

PRK Parlimen Tanjung Piai hari ini menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi parlimen itu dengan majoriti besar, 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 11:01 PM