BERNAMA

REMAJA lelaki mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan, luka pada kepala dan badan selepas diserang serta ditetak sekumpulan lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Panchor, Nibong Tebal, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, remaja berusia 19 tahun berkenaan menghantar rakan lelakinya di Taman Bukit Panchor dan dia menunggang motosikal bersendirian pulang ke rumah di Taman Nibong Tebal Jaya, sebelum dikejar dua motosikal.

“Mangsa melihat terdapat empat lelaki menunggang dua motosikal itu dan seorang daripadanya dikenali remaja tersebut. Mereka bertindak mengejarnya hingga ke belakang deretan rumah kedai di Taman Bukit Panchor sebelum mangsa terjatuh daripada motosikal,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, remaja itu berlari ke arah kawasan perumahan Taman Bukit Panchor dan bersembunyi di belakang sebuah kereta yang diparkir di hadapan deretan rumah di situ.

Bagaimanapun empat lelaki berkenaan telah ternampak mangsa sebelum menyerang serta menetaknya.

Menurutnya, mereka menetak mangsa beberapa kali pada bahagian kepala, tangan dan belakang badan sebelum melarikan diri selepas penduduk di situ keluar melihat apa yang berlaku kerana bunyi bising.

Shafee berkata, penduduk di situ menghubungi polis memaklumkan kejadian dan mangsa yang berlumuran darah dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya kerana kritikal.

“Menurut doktor merawat remaja itu, mangsa patah pada tangan sebelah kanan, mengalami luka di atas kepala dan bahagian belakang badan serta menerima lima jahitan. Dia berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan,” katanya.

Katanya, mangsa memaklumkan tidak mengetahui motif sebenar dia diserang dan ditetak empat lelaki berkenaan, malah tidak mempunyai sebarang masalah dengan sesiapa.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kejadian tersebut dan masih memburu tiga lagi rakannya yang dipercayai berada di sekitar daerah SPS.

“Lelaki berusia 20-an yang ditahan di Nibong Tebal itu kini direman untuk membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 2:11 PM