Kapal ‘bulk carrier’ Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Siti Sofia Md Nasir


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan kapal jenis ‘bulk carrier’ dipercayai dari Vietnam di kedudukan 6.9 batu nautika dari Barat Laut Pulau Betong, Georgetown semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kapal sepanjang 97 meter dengan nama pendaftaran ‘NASHICO 08’ itu ditahan 8.15 malam.

Beliau berkata, turut ditahan adalah 15 kru warga Vietnam, termasuk kapten kapal dan dua kru warga India.

“Selepas pemeriksaan, kita dapati kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut serta tanpa sebarang pemakluman kecemasan.

“Semua kru yang berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan dan dibawa ke Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

Katanya, Maritim Pulau Pinang serius menguatkuasakan undang-undang dan sentiasa mempertingkatkan rondaan khususnya di perairan Pulau Pinang.

“Orang awam diminta bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 11:31 PM