G SAMINATHAN. FOTO Arkib NSTP
G SAMINATHAN. FOTO Arkib NSTP
Nurul Fhatihah Zakinan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan disahkan tidak akan hadir sepanjang persidangan ke-14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar ketika berucap pada pembukaan sidang berkenaan hari ini, meluluskan permohonan ketidakhadiran Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu.

“Persidangan ini berlangsung selama tempoh tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 November depan dan saya meluluskan permohonan dikemukakan ADUN Gadek,” katanya.

Saminathan yang juga ADUN PH sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sementara itu, persidangan bermula 9.30 pagi tadi kecoh kira-kira lima minit apabila ADUN Sungai Udang-BN, Datuk Seri Idris Haron bangun dan mencadangkan ketidakhadiran Saminathan dibahaskan menerusi usul kerana membabitkan dakwaan pembabitan dalam keganasan antarabangsa, LTTE.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah oleh ADUN Banda Hilir-PH Tey Kok Kiew atas alasan ucapan Speaker DUN tidak boleh dibahas.

Omar bagaimanapun membuat keputusan menolak usul berkenaan, malah sudah dibuat secara bertulis dan ia muktamad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 10:45 AM