Sarah Zulkifli


PIHAK pendakwaan yang mengendalikan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuktikan tiada satu sen daripada RM31 juta dana Yayasan Akalbudi digunakan bagi membantu orang miskin, sebaliknya tertuduh membelanjakan bagi kepentingan diri sendiri, termasuk pembayaran kad kredit.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaan kes rasuah berprofil tinggi itu berkata, pendakwaan juga akan membuktikan dana yayasan sama dibelanjakan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO bagi membeli insuran kenderaan dan lesen motor persendirian.

“Pendakwaan akan buktikan tertuduh menyalahgunakan dana berjumlah RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, yang ditubuhkan bertujuan membantu golongan miskin dan memerlukan.

“Pihak pendakwaan akan memanggil seramai 20 saksi bagi memberikan keterangan sepanjang perbicaraan dengan bukti dokumen,” katanya.


AHMAD Zahid ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Raja Rozela berkata, selain itu, pendakwaan juga akan membuktikan Ahmad Zahid ketika menjadi Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara 2016 dan 2018 menerima rasuah berjumlah RM17 juta daripada beberapa syarikat berbeza dengan memberikan tiga kontrak bagi mendapatkan projek MyEG.

“Tertuduh turut didakwa menerima RM4.25 juta daripada seorang individu pada waktu sama, sebagai imbuhan kepada tertuduh bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek sama,” katanya.

Raja Rozela berkata, bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan akan membuktikan tertuduh turut menerima cek berjumlah RM65 juta daripada beberapa individu yang dikenali dan tidak dikenali.

“Dalam pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan akan membuktikan bahawa cek itu diserahkan kepada peguam Muralidharan daripada Tetuan Lewis & Co, yang kemudian mendepositkan cek itu ke dalam akaun anak guamnya.

“Sebahagian besar wang itu digunakan untuk membeli dua unit rumah banglo berjumlah RM5.9 juta dan membuat bayaran deposit tetap di bawah nama firma guaman berkenaan,” katanya yang memaklumkan transaksi yang dilakukan dalam pengetahuan Ahmad Zahid serta mengetahui bahawa ia adalah hasil aktiviti haram.

Beliau berkata, justeru, pihak pendakwaan akan memanggil seramai 35 saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan rasuah.

Terdahulu, mahkamah membacakan tiga pertuduhan pindaan terhadap Ahmad Zahid dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pindaan pertama, kedua dan ke 27.

Bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua, Ahmad Zahid yang juga pemegang Amanah Yayasan Akalbudi dan diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM565,183.71 milik yayasan itu.

Ahmad Zahid didakwa melakukan pecah amanah ke atas harta itu dengan curangnya membuat pembayaran kad kredit milik persendirian iaitu Amislamic Bank Visa Infinite, Amislamic Bank World Mc, Amislamic Bank Visa Infinite dan Amislamic Bank World Mc, Maybank Mastercard Gold serta Maybank Visa Platinum.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No 133 Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India antara 13 Januari hingga 23 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan denda.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan ke-27, iaitu pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung berkaitan pendapatan daripada kegiatan haram pada 2016.

Dia didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah wang tunai RM6,885,300.20 kepada 30 cek kemudian diserahkan kepada Peguam Bela dan Penguam Cara Tetuan Lewis & Co, untuk tujuan simpanan tetap di Maybank.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise Sdb Bhd, Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 3:07 PM