LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Abdul Rahemang Taiming


POLIS mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tujuh pelajar Tingkatan Lima yang disyaki merogol remaja 14 tahun di sebuah sekolah di Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ia termasuk dakwaan yang tular di media sosial bahawa ada rakaman kejadian itu.

Beliau juga menafikan pihaknya ada menerima rakaman video berkenaan.

“Setakat ini, kita (polis) tidak ada menerima rakaman video berkaitan kejadian rogol terbabit.

“Bagaimanapun, kita ada membuat rampasan telefon bimbit milik mangsa dan semua suspek sementara pasukan Teknikal dan Forensik sedang menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di perkarangan IPD Tawau, di Tawau, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 10 anggota polis pangkat rendah menerima kenaikan pangkat, manakala 36 lagi termasuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah atas pencapaian cemerlang masing-masing dalam menjalankan tugas.

Dalam pada itu, Peter menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen berhubung kes membabitkan remaja atau kanak-kanak bawah umur.

Beliau berkata, ia berikutan kes berkenaan akan memberi kesan kepada masa depan individu terbabit.

“Kita mengambil kira masa hadapan mereka. Oleh itu masyarakat jangan membuat sebarang spekulasi sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan sepenuhnya,” tegasnya.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek.

Berita berkaitan

7 pelajar ditahan terbabit kes rogol

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:18 AM