Gambar hiasan


PASANGAN suami isteri dikesan menjadikan kegiatan pecah kenderaan sebagai punca pendapatan utama mendapatkan wang bagi membeli dadah dan berbelanja mewah termasuk menyewa bilik hotel di sekitar Kulai.

Bagaimanapun, aktiviti mereka yang turut memecahkan kereta di kawasan parkir rumah membawa padah apabila ada saksi berjaya mengecam mereka sebelum melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, polis terima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa cermin kiri kereta Proton Saga sudah dipecahkan di rumahnya di Jalan Beringin 2, Taman Beringin, Senai pada Ahad lalu.

Menurut mangsa, suspek tidak sempat melarikan barangan dalam keretanya itu kerana kejadian terbabit disedari jirannya.

“Bertindak atas laporan itu, kami menjalankan siasatan dan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menyerbu sebuah hotel di Jalan Mewah 1, Senai sebelum menahan pasangan terbabit yang berusia 34 tahun pada 11.30 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku memecahkan cermin kenderaan manakala isterinya mengaku ada bersamanya ketika kejadian.

Katanya, pasangan berkenaan kemudiannya dibawa pulang ke IPD Kulai bagi membantu siasatan dan polis merampas sebuah motosikal dipercayai milik mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek lelaki pernah menjalani hukuman mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh menggunakan senjata.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati mereka berdua positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka berdua kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 KK dan Seksyen 15 (1) (a) Akda Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 2:11 PM