NAJIB ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Murni Wan Omar


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak berpuas hati dengan isi kandungan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tidak membenarkan ia dicetak sebelum mendapat kebenarannya.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pada 22 Februari 2016, beliau dipanggil untuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bertemu Najib dan Tan Sri Ambrin Buang (Bekas Ketua Audit Negara).

“Pada pertemuan itu, Najib memberitahu saya dan Ambrin bahawa tujuan beliau memanggil kami berdua adalah berhubung dengan Laporan Pengauditan 1MDB untuk pembentangan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari 2016.

“Najib menyatakan beliau tidak berpuas hati dengan isi kandungan yang terdapat dalam laporan itu. Beliau menyatakan tidak mahu dua penyata kewangan 1MDB berbeza dimasukkan ke dalam laporan itu,” katanya.

Ali berkata, pada ketika itu beliau tidak tahu apakah masalah mengenai penyata kewangan tahunan 1MDB yang dinyatakan dalam laporan itu.

“Saya ingin jelaskan di sini, walaupun saya adalah Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk bermesyuarat. Saya juga tidak pernah tandatangan sebarang dokumen berkaitan dengan peranan saya.

“Saya juga tidak pernah terbabit dengan mana-mana proses di peringkat audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap 1MDB. Pada pertemuan itu, saya juga tidak pernah membaca laporan yang dimaksudkan oleh Najib,” katanya.

Ali berkata, selepas pertemuan itu, beliau diarahkan oleh Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara JAN dan Arul Kanda (wakil 1MDB) mengenai perkara itu.

“Saya juga diarahkan untuk tidak mencetak laporan itu sehingga mendapat persetujuan daripada beliau. Pada waktu itu saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung sama ada laporan itu sudah dimuktamadkan ataupun belum.

“Selepas itu saya pulang ke pejabat dan mengarahkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) supaya satu mesyuarat mengenai laporan itu pada 24 Februari 2016. Saya meminta beberapa wakil daripada 1MDB, JAN, Perbendaharaan, Jabatan Peguam Negara dan PMO dijemput,” katanya.

Menurutnya, wakil daripada Perbendaharaan dijemput kerana syarikat 1MDB berada di bawah kawalan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala, Jabatan Peguam Negara dijemput bagi memberi pandangan dan nasihat berkaitan perundangan.

“Pada 23 Februari 2016, saya menjemput Ambrin dan Tan Sri Shukry Mohd Salleh (bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib) untuk berjumpa. Saya memaklumkan kepada mereka berhubung mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu.

“Dalam perjumpaan itu, Shukry memaklumkan kepada kami bahawa laporan itu menjadi krisis yang perlu ditangani dengan segera. Pada waktu itu saya tidak memberi sebarang maklum balas,” katanya.

Ali berkata, sebelum mesyuarat itu bermula, beliau memaklumkan kepada mereka yang hadir bahawa tujuan ia diadakan adalah berdasarkan arahan Najib yang mahu pelarasan dibuat berhubung laporan itu.

“Ketika mesyuarat dijalankan, tiada sebarang minit mesyuarat diambil. Semua pihak yang hadir membincangkan satu persatu isu dalam laporan itu yang dibangkitkan oleh JAN dan dijawab oleh Arul Kanda.

“Arul Kanda banyak menyatakan perkara yang beliau tidak setuju dimasukkan ke dalam laporan oleh JAN. Alasan beliau banyak perkara yang dimasukkan adalah berdasarkan ‘dengar cakap’ (hearsay) semata-mata. Beliau mendesak supaya ia tidak dimasukkan,” katanya.

Menurutnya, Arul Kanda bertegas mahu laporan itu dibuat mengikut apa dikehendakinya.

“Dalam mesyuarat itu Ambrin membangkitkan isu mengenai perbezaan dua versi penyata kewangan 1MDB pada 2014. Saya meminta Arul Kanda membuat penjelasan dan mengakui ada dua versi berbeza.

“Arul Kanda tetap bertegas untuk tidak memasukkan isu itu ke dalam laporan dan mohon siasatan polis dilakukan. Sidang mesyuarat setuju untuk pihak MKD membuat laporan polis,” katanya.

Tambah Ali lagi, dalam mesyuarat itu juga turut membincangkan berhubung kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho ada Jho Low dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB berhubung Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

“Semakan JAN mendapati Jho Low tidak memegang sebarang peranan dalam 1MDB dan kehadirannya dilihat sebagai tidak kena.

“Shukry meminta isu itu dikeluarkan daripada laporan selepas mengambil kira sensitiviti perkara itu. Ia juga bagi mengelakkan isu itu diputar belit oleh pembangkang ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:51 PM