Siti Rohana Idris


GAYA hidup mewah seorang jurujual kereta membongkar kepada kegiatan pengedaran dadah dijalankannya sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad lalu di hotel terkemuka di Kota Bharu bersama dadah bernilai lebih RM3 juta.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, terdahulu pihaknya menyerbu rumah di Lubok Jong, Rantau Panjang pada 9 pagi hari sama dan menahan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun.

Beliau berkata, polis kemudian ke hotel terkemuka di daerah Kota Bharu untuk menahan suspek utama.

“Polis mengetuk pintu bilik hotel, namun tidak mendapat respon sebelum terpaksa memecah masuk dengan kerjasama pihak hotel.

“Suspek ketika itu sedang bersembunyi di dalam bilik air dan hasil pemeriksaan menemui sehelai seluar panjang jenama Polo di atas katil yang terselit satu foil warna merah/perak berisi pil jenis dadah Eramin 5 di poket hadapan.


ABDULLAH (kiri) memeriksa sebahagian enam kenderaan mewah dirampas di IPK Kelantan. FOTO ZAMAN HURI ISA

“Kami kemudian dibawa ke sebuah kenderaan Lexus NX200T dan menemui empat beg berzip dan satu bungkusan mengandungi 186,000 pil kuda seberat 20.781 kilogram (kg) serta syabu seberat 39.21kg dan nilai keseluruhan sebanyak RM3.76 juta,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, bekalan dadah itu diperoleh dari Thailand untuk pasaran di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Katanya, suspek positif methampetamine dan memiliki sembilan rekod lampau berkait kes curi kenderaan, samun, kesalahan di bawah akta senjata api serta dadah.

“Kami menyita pelbagai barang termasuk enam kenderaan mewah, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan, seutas gelang tangan keemasan, dua geran mukim dan tujuh buku akaun simpanan yang keseluruhan berjumlah RM540,850.

“Suspek terbabit bersama pasangan suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 sehingga 24 November.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:06 AM