KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap anggota APMM bagi mengesan simptom penyakit jangkitan saluran pernafasan. FOTO ihsan APMM.
Muhamaad Razis Ismail


JABATAN Kesihatan Kelantan mengesahkan lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pasir Puteh mengalami kluster jangkitan saluran pernafasan sejak minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, turut mengalami masalah sama adalah 11 nelayan warga Vietnam.

Beliau berkata, mereka dikesan mengalami masalah itu selepas terbabit dalam OPS Naga Barat dan OPS Damai pada 13 November hingga 14 November lalu di sempadan perairan perikanan Pantai Timur Malaysia.

“Kejadian dikesan hasil maklumat melalui telefon kepada Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh pada 17 November 2019.

“Jabatan Kesihatan dengan segera menghantar pasukan kesihatan dan perubatan serta mengesan 63 orang terdiri daripada 18 anggota APMM dan 45 nelayan warga Vietnam terbabit dalam kedua-dua operasi itu.

“Daripada jumlah itu hanya 19 orang yang simptomatik dikenal pasti iaitu lapan anggota APMM dan 11 lagi nelayan warga Vietnam

“Pemeriksaan klinikal mendapati mereka mempunyai tanda jangkitan jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak seawal sehari selepas pulang dari operasi iaitu pada 15 November lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Kelantan sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan organisma/kuman yang menyebabkan jangkitan itu.

“Pada masa sama, tindakan kawalan, ‘social distancing’ dan pendidikan kesihatan dilakukan.

“Kes nelayan warga Vietnam sedang diasingkan di Penjara Pengkalan Chepa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:32 PM