Gambar Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


KEGIATAN tiga lelaki menyamar polis dan memperdaya seorang buruh ladang sawit tidak bertahan lama apabila mereka diberkas secara berasingan, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat pengurus ladang sebaik mengetahui kejadian itu daripada pekerjanya.

Menurutnya, pengurus ladang terbabit memaklumkan kejadian berlaku tiga kali iaitu pada 4, 5 dan 16 November lalu.

“Dalam kejadian kali pertama kira-kira jam 3 petang, seorang suspek datang ke ladang sawit menaiki kereta dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum beredar.

“Keesokannya, suspek sama datang semula ke ladang dan meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit lalu melarikannya,” katanya dalam kenyataan di Jempol, hari ini.

Susulan itu, Mohd Hafiz berkata, suspek bersama dua rakannya sekali lagi datang ke ladang untuk berjumpa mangsa, namun beredar sebaik menyedari terdapat kamera litar tertutup (CCTV).

“Mangsa menceritakan kejadian kepada pengurus ladang sebelum mereka tampil membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia 20-an di Bahau dan Melaka.

Beliau berkata, semua suspek direman selama enam hari sehingga 23 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 2:25 PM