Yusmizal Dolah Aling


BAGI mengeratkan kerjasama antara pertubuhan kerdil negara serumpun, satu pertandingan bola sepak persahabatan akan diadakan antara Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dengan Unik Berkarya Indonesia di ibu negara 14 Disember ini.

Presiden PKOKM Jasmi Shafie berkata, inisiatif berkenaan adalah simbolik hubungan antara orang kerdil Malaysia dan orang mini Indonesia yang sudah terjalin sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Katanya, perlawanan berkenaan akan diadakan di Stadium Mini Raja Muda Abdul Aziz Kampung Baru jam 9.30 pagi dan ia adalah sebahagian dari rangka lawatan delegasi negara jiran itu.

“Perancangan awal, kita adakan perlawanan ini sewaktu Hari Sukan Negara baru-baru ini tetapi memandangkan ia perlu mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan, kita tangguhkan.

“Pada 2008 pasukan orang kerdil Malaysia pernah menyertai perlawanan persahabatan di Jakarta, jadi ini adalah timbal balik,” katanya kepada Harian Metro.


JASMI menunjukkan kelulusan menganjurkan perlawanan persahabatan daripada Kementerian Belia dan Sukan. FOTO Yusmizal Dolah Aling

Jasmi berkata, sejak awal penubuhan PKOKM pada 1984, bola sepak menjadi sukan penyatuan menghimpunkan orang kerdil di negara ini dan disebabkan itu ia dijadikan ejen penyatuan orang kerdil kedua-dua negara.

Menurutnya, orang mini Indonesia baru saja menubuhkan Yayasan Cebol khusus untuk orang istimewa dan mereka saling bertukar-tukar fikiran dengan PKOKM.

“Cuma mereka di sana lebih aktif dengan kumpulan kebudayaan dan pelbagai program lain untuk orang kerdil.

“Program ini mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia. Kita harap ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“PKOKM mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk program ini. Selepas ini kita akan berbincang untuk mengadakan gabungan di peringkat negara ASEAN,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PKOKM menerusi talian 03 4023 5302.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:36 PM