Aminuddin menafikan penutupan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah sebaliknya kerana bercuti. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


“TUTUP sebab cuti. Hari ini dah buka semula,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai dakwaan kononnya Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah sudah tidak beroperasi.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak wajar dilakukan pihak tertentu yang dipercayai sengaja menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

“Pusat khidmat itu ditutup atas sebab bercuti selama dua hingga tiga hari dan ia sudah kembali beroperasi semula hari ini.

“Saya harap jangan jadikan ini sebagai satu isu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pejabat ADUN Pilah, Mohamad Nazarudin Sabtu itu ditutup dan menyebabkan penduduk tidak dapat membuat aduan.

Apabila ditanya mengenai dakwaan isteri dan anak Mohamad Nazarudin yang bertugas di pusat khidmat itu, Aminuddin berkata, sesiapa saja layak melakukan tugas di pusat itu.

“Tiada masalah sesiapa pun mahu bekerja, asalkan ia beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Nazaruddin dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Ia menimbulkan khabar angin kononnya beliau akan meletakkan jawatan sebagai EXCO dan wakil rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:50 PM