Dr Wan Azizah menyaksikan Teo Nie Ching menerima kertas cadangan dasar anti buli daripada pelajar SMK Rantau Negeri Sembilan, Nur Iwani Izzati Ruhaizard (tiga dari kiri) pada program #kidstakeoverParlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Husni Mohd Noor


“KITA perlu memastikan sekolah jangan sembunyikan kes buli,” kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program #kidstakeoverParlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Program berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof serta beberapa ahli Parlimen.

Nie Ching turut memberi amaran kepada pengetua, guru dan pihak pengurusan sekolah agar tidak menyembunyikan kes buli hanya kerana mahu menjaga nama baik dan prestasi.

“Tindakan (jangan sembunyi kes buli) itu tidak akan membantu menangani kes buli yang kini dilihat semakin membimbangkan di sekolah di seluruh negara.

“Saya rasa yang paling penting ialah kita perlu memastikan sekolah jangan sembunyikan kes buli walaupun sistem laporan disediakan.

“Saya tidak boleh nafi memang ada sekolah mungkin nak jaga nama baik dan akhirnya mereka tidak laporkan kebanyakan kes hanya menjadi satu isu apabila ia tular,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, terdapat cadangan meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula garis panduan untuk mengekang berlakunya buli di sekolah.

“Saya akan bawa balik cadangan mereka dan kita akan beri kepada menteri dan bahagian dasar untuk mengkaji cadangan itu. Jika sesuai, kita mungkin melaksanakannya,” katanya.

Program #kidstakeoverParlimen dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Beberapa kanak-kanak berusia 13 hingga 16 tahun diketengahkan pada program itu kerana mempunyai pengalaman dibuli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:05 PM