DATUK Red. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Murni Wan Omar


MENDAKWA ditipu berhubung pembelian tanah, dua individu memfailkan saman terhadap ADN Properties Sdn Bhd dan dua pengarahnya termasuk suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adenan Abu yang juga dikenali sebagai Datuk Red.

Mohamad Syaimi Amri Marzuki dan Mohd Hisham Junid sebagai plaintif memfailkan saman itu pada 13 November lalu di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam mereka, Bhavanash Sharma dari Tetuan Bhavanash Sharma.

Selain Adenan (defendan ketiga), mereka turut menamakan Hasmy Abu Hassan (defendan pertama), Shamshurina Suhaimi (defendan keempat), Sanisah Abdul Sani dan Nor Khairunnisa Mohd Rosni (defendan kelima dan keenam di saman sebagai firma di bawah Sanisah Khairun & Co).

Adenan dan Shamshurina adalah pemegang saham kepada syarikat ADN Properties manakala Hasmy kononnya adalah pemilik tanah dibeli plaintif.

Berdasarkan writ dan penyata tuntutan, kedua-dua plaintif menuntut defendan memulangkan harga pembelian RM234,000, ganti rugi untuk kemungkinan kontrak dan pengkayaan tidak patut, ganti rugi penipuan dan ganti rugi kecuaian profesional terhadap firma guaman Sanisah Khairun & Co.

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kedua-dua plaintif mendakwa ada membeli enam plot tanah di Mukim Hulu Langat daripada ADN Properties yang mendakwa tanah itu milik mereka.

Mereka mendakwa semua defendan membuat konspirasi penjualan tanah rizab Melayu itu sehingga mendorong mereka melabur semua wang simpanan mereka.

Plaintif mendakwa semua defendan melakukan penipuan dan menyebabkan Perjanjian Jual Beli (SPA) bertarikh 18 Januari 2016 dan 12 Januari 2016 dikeluarkan melalui firma yang tidak wujud pada 29 Julai 2015.

Berdasarkan kenyataan akhbar yang diperoleh, Bhavanash berkata, ia adalah penipuan tanah berskala besar dan dipercayai membabitkan lebih 120 pembeli.

Menurutnya, plaintif dalam kes ini ada menandatangani pembelian tanah sekitar Januari 2016, bagaimanapun terkejut apabila mendapati peguam yang menguruskan perkara itu tidak mempunyai sijil amalan guaman sah.

“Perjanjian disediakan Firma Guaman Iszam Kamal & Hazlan tidak dibenarkan beroperasi sejak Mei 2015.

“Walaupun ‘membeli’ tanah itu, penama tanah masih belum dapat dipindahkan kepada anak guam saya. Malah, ADN Properties sebenarnya bukan pemilik berdaftar atau benefisial tanah itu,” katanya.

Oleh itu katanya, dua laporan polis dibuat plaintif pada 10 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:16 PM