Huzir pada sidang media di Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 10,002 wanita tempatan dan warga asing yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral ditahan polis menerusi Operasi Noda di tujuh negeri dari Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan di Sarawak, Kuala Lumpur, Perak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

“Dalam operasi ini, kami menahan 10,002 wanita termasuk 384 warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan tidak bermoral termasuk bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) serta pelacur.

“Daripada jumlah itu, wanita warga Vietnam paling ramai ditahan iaitu 1,693 individu diikuti Thailand dan China.

“Sebanyak 2,633 serbuan dilakukan di tujuh negeri terbabit sepanjang tempoh itu membabitkan 1,686 premis bar, 802 pusat karaoke dan 145 kelab malam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Dalam operasi judi dalam talian pula, 7,591 individu ditahan menerusi 3,422 serbuan di seluruh negara bagi tempoh sama.

“Kami turut merampas 41,981 alat yang digunakan untuk kegiatan judi dalam talian termasuk komputer, komputer riba, tab dan telefon bimbit serta wang tunai RM1.1 juta dalam operasi itu.

“Tindakan polis yang kerap melakukan serbuan memaksa sindiket mengubah modus operandi mereka dengan beroperasi secara tertutup pada waktu malam.

“Malah mereka hanya menerima pelanggan tetap yang dikenali untuk masuk ke premis sebelum diberi tab bagi berjudi,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan secara konsisten untuk membanteras kegiatan judi dalam talian.

“Kami menyeru orang ramai tampil memberikan maklumat berhubung kegiatan itu dengan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah di kontinjen berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:05 PM