Khairul Najib Asarulah Khan


EMPAT lelaki warga Myanmar ditahan polis selepas disyaki memukul rakan senegara hingga mati di Jalan Pudu Lama, di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Sumber polis berkata, suspek ditahan berdekatan lokasi kejadian, kelmarin dan mereka direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, polis menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.09 petang, pada hari kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring.

Katanya, anggota perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh badan mangsa.

“Hasil temu bual dengan beberapa saksi di lokasi kejadian mereka menyatakan mangsa dipukul empat lelaki sebelum mangsa parah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:18 AM