SAIFUDDIN Nasution Ismail. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Hussin


TINDAKAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengadakan perjumpaan bersama pimpinan AMK Pusat dan Cabang daripada seluruh negara malam tadi, dianggap tidak sah kena tidak mengikut peraturan parti.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap keputusan mesyuarat parti perlu dilakukan dalam mesyuarat parti bukannya perjumpaan seperti itu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, keputusan rasmi parti tidak boleh dilakukan melalui perjumpaan.

“Setiap keputusan dalam mesyuarat parti kena buat dalam mesyuarat parti bukannya perjumpaan macam itu.

“Itu bukan cara parti bergerak. Platform yang sebenar adalah mesyuarat kepimpinan pusat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat beli-belah Aeon Taman Maluri, di Kuala Lumpur, hari ini.

Harian Metro melaporkan Timbalan Ketua AMK Muhammad Hilman Idham dipetik berkata, perasmian Kongres Nasional AMK Pusat akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen organisasi dengan Ucapan Dasar oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pendirian itu dinyatakan majoriti pimpinan AMK Pusat dan Cabang daripada seluruh negara yang dipilih dalam Pemilihan PKR 2018.

Perasmian itu yang akan berlangsung pada 5 Disember ini di Melaka bersama-sama dengan sayap Wanita KEADILAN.

Sementara itu, Saifuddin berkata, PKR akan meneruskan konvensyen peringkat negeri Sarawak pada Sabtu ini kerana ia sudah disusun dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR.

“Semua negeri telah diberikan jadual (konvensyen) dan pelaksanaannya mengikut jadual. Sekiranya ada pandangan sebaliknya, maka saluran yang betul adalah untuk mencadangkan perkara itu kepada MPP dan Biro Politik.

“Kemudian baru satu keputusan itu boleh dibuat. Jadi, sehingga proses itu dilakukan kita akan meneruskan konvensyen negeri Sarawak,” katanya.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Baru Bian dipetik berkata, pembatalan Konvensyen PKR negeri pada Sabtu ini di Miri adalah keputusan majoriti membabitkan 32 daripada 46 ahli MPN PKR negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 1:23 PM