GAMBAR hiasan.
BERNAMA

MASALAH baran, perselisihan faham dan ketagihan dadah dikenal pasti antara punca utama keganasan rumah tangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, berdasarkan statistik pada tahun ini, masalah baran adalah punca kes keganasan rumah tangga tertinggi membabitkan 71 mangsa wanita dan 14 lelaki.

Sementara itu, beliau berkata, untuk punca perselisihan faham pula merekodkan 48 kes yang kesemuanya mangsa wanita, manakala untuk penagihan dadah membabitkan 43 wanita dan seorang lelaki.

“Bagi kes membabitkan perangai panas baran atau pengurusan kemarahan, wujud perkara seperti ini dalam sesebuah keluarga kerana ramai dalam kalangan mereka tidak tahu di mana nak mendapatkan bantuan.

“Sebab itu, kita minta Jabatan Pembangunan Wanita untuk menumpukan kepada program kesedaran kerana ramai mangsa keganasan rumah tangga tidak membuat laporan disebabkan pelakunya adalah suami atau ahli keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui program kesedaran itu, pihaknya akan memastikan mangsa keganasan rumah tangga lebih selesa untuk mengadu tanpa khuatir keadaan yang akan berlaku kepada anak mereka.

Yeoh menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan langkah diambil oleh kementerian bagi menggalakkan mangsa dan orang ramai membuat laporan bagi kes keganasan rumah tangga.

Beliau berkata setakat Jun lalu, sebanyak 340 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara dan tiga negeri yang mencatat kes tertinggi ialah Selangor (91 kes), Pahang (56) dan Kedah (34).

Yeoh, bagaimanapun menjelaskan statistik yang rekodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, hanya 10 peratus daripada statistik laporan yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu sebanyak 3,139 kes.

Sehubungan itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga dapat membantu melakukan pemantauan dan penyelarasan data untuk disalurkan kepada wakil rakyat bagi melaksanakan program intervensi yang lebih tertumpu.

Jawatankuasa itu, katanya akan berperanan mencari kaedah penyelarasan terbaik dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 2:44 PM