Skip this ad x
Norainee (dua dari kanan) berselawat bersama muslimat yang hadir ke program ‘Muslimat Berselawat’ di Masjid Sri Sendayan, Seremban hari ini. Foto Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


SERIBU dua ratus muslimat hadiri program ‘Muslimat Berselawat’ anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Seremban 2 di Masjid Sri Sendayan di Seremban hari ini.

Program sempena Sambutan Maulidur Rasul itu disambut penuh kesyukuran dengan pengisian program bertujuan melahirkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi LKPIM Seremban 2 Fadzilah Abdullah berkata, program selama dua jam itu diisi dengan berselawat untuk menyemarakkan ingatan kepada Rasulullah SAW dan ceramah oleh Ustaz Lukmanul Hakim Hanafi atau lebih dikenali Ustaz Pilot.

“Majlis diadakan atas permintaan isteri pewakaf Masjid Sri Sendayan, Puan Sri Hani Yang yang mahu program muslimat diadakan untuk bersama-sama mengimarahkan masjid.

“Alhamdulillah, program dianjurkan dengan kerjasama masjid dan LKPIM Seremban 2 ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Program itu turut dihadiri tetamu khas, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman iaitu isteri kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Fadzilah berkata, pihaknya berharap usaha mengimarahkan dan memeriahkan masjid dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 4:38 PM