CIAPAN di Twitter yang mendakwa penyokong Indonesia dibelasah penyokong Malaysia. FOTO Twitter


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah maklumkan kepada polis untuk menyiasat video tular yang mendakwa penyokong Indonesia dipukul.

Perkara itu beliau jelaskan dalam ciapan di akaun rasmi Twitternya, malam ini.

“Kalau ada pihak yang dipukul, tolong suruh dia buat laporan ke pihak polis.

“Kami akan memastikan bahawa siasatan akan dibuat dengan wajar dan telus.

“Keadilan adalah untuk semua, tidak kira dari Malaysia atau Indonesia,” katanya.

Terdahulu seorang pengguna Twitter memuat naik satu video berdurasi 44 saat yang menunjukkan beberapa lelaki dibelasah.

Dia mendakwa beberapa lelaki warga Indonesia dibelasah ketika perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, merujuk kepada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Selasa lalu.

Menurut pengguna Twitter itu juga, video terbabit turut menyelitkan beberapa keterangan yang dianggap menghina.

“Bagaimana anda menuntut permintaan maaf daripada kami (Indonesia) sebelum ini, kami harap anda akan buat perkara yang sama dengan memohon maaf bagi insiden ini,” kata pengguna itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 12:14 AM