BERNAMA

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Omar Jaafar menolak cadangan ketua pembangkang, Datuk Seri Idris Haron agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu menjalani ujian urin.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang melontarkan cadangan itu selepas mengemukakan soalan tambahan kedua kepada Exco Kesihatan dan Anti Dadah Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap isu ketum.

Low menerima cadangan Idris namun meminta agar Idris dan Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) terlebih dahulu menjalani ujian urin itu hari ini terlebih dahulu.

Namun cadangan itu ditolak oleh Omar kerana perkara itu tiada dalam agenda mesyuarat hari ini.

Sidang DUN Melaka di Seri Negeri hari ini. Foto Khairunisah Lokman
Sidang DUN Melaka di Seri Negeri hari ini. Foto Khairunisah Lokman

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan daripada ketua pembangkang itu, Low berkata, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ketika mesyuarat agung tahunannya di Pulau Pinang baru-baru ini menolak penanaman ketum di negara ini.

Menurutnya, pada 2003 kerajaan sudah menetapkan penggunaan daun ketum mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1992 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Akta Racun 1992 penanaman ketum dibawa ke Parlimen dan dibahaskan.

Beliau berkata, pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap individu yang menanam ketum namun bergantung kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara seperti yang dilakukan oleh Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 12:54 PM