Tentera Filipina mengawal pasukan misi Muslim Care Malaysia sepanjang berada di Zamboanga City. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SELEPAS lebih 10 jam menanti kebenaran, pasukan misi Muslim Care Malaysia (Muslim Care) terpaksa akur selepas tidak dibenarkan masuk ke Pulau Basilan.

Walaupun sudah mematuhi arahan diberikan, kerajaan Filipina masih enggan memberikan pelepasan atas beberapa faktor termasuk keselamatan.

Rundingan dijalankan bersama wakil Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersama kerajaan masih menemui jalan buntu.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wajihan berkata, walaupun kecewa namun peserta misi terpaksa akur dengan arahan keselamatan dan kebenaran daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata, barangan pakaian dan perubatan sudah berada di Pulau Basilan bersama pasukan misi semalam dan akan disampaikan wakil Muslim Care kepada masyarakat Islam di Baranggay Seringgon Haji Mohd Ajul.

Menurutnya, kehadiran Muslim Care kali ini susulan kejayaan bantuan awal yang dihulurkan kepada penduduk Islam di pulau berkenaan September lalu tanpa sebarang masalah termasuk membina sebuah tahfiz.

“Sepanjang hari kami menanti keputusan rundingan antara MILF dan kerajaan Filipina namun perlu akur atas arahan kerana tidak mahu mendatangkan risiko kepada peserta misi.

“Keselamatan menjadi keutamaan kerana risiko insiden tidak diingini boleh berlaku sepanjang misi berlangsung di pulau berkenaan,” katanya di Zamboanga hari ini.

Menurutnya, sukarelawan Muslim Care akan menyantuni komuniti Islam di Zamboanga esok bagi menghulurkan bantuan lain.

Misi Kesihatan dan Kebajikan kali ini membawa 24 sukarelawan bersama wartawan Harian Metro tiba di Zamboanga, Jumaat lalu.

Sebaik tiba di Pulau Basilan bersama barangan bantuan dan perubatan semalam, pasukan misi diarahkan untuk meninggalkan pulau itu kerana dikatakan gagal mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Berita berkaitan

Muslim Care masih teruskan rundingan

Diarah meninggalkan Pulau Basilan

Pemeriksaan ketat jamin keselamatan

Santuni masyarakat Islam Pulau Basilan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 6:50 PM