FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PENYAKIT jantung koronari masih pembunuh nombor satu dengan meragut nyawa 50 rakyat Malaysia setiap hari, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada 2018 adalah 18,267 orang sekali gus kekal menjadi punca utama kematian di negara ini.

“Jumlah kematian akibat penyakit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia juga menjadi punca utama yang menyebabkan kematian mengejut,” katanya ditemui selepas merasmikan program ‘Perak Automated External Defibrillator (AED) Save A Life’ di Dewan Bandaraya Ipoh hari ini.

Seramai 580 peserta dari seluruh negeri menyertai program anjuran Ipoh Cardiovascular Society yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan bilangan orang awam yang mampu melakukan Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR serta menggunakan AED.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan larangan meminum arak di tempat tertentu seperti larangan merokok.

Beliau berkata, bagi larangan merokok, kementerian boleh melaksanakan penguatkuasaan kerana ia termaktub dalam Akta Makanan 1983.

Katanya, larangan itu adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

“Bagaimanapun minum arak ketika memandu tidak wajar dan tidak dibenarkan kerana ia bukan saja membahayakan diri malah pemandu lain,” katanya.

Mengenai program hari ini, Dr Lee berkata, ia berguna kerana bukan saja dapat meningkatkan kesedaran orang ramai malah mendidik masyarakat untuk memberi rawatan secepat mungkin jika berlaku ‘sudden cardiac arrest’.

Dalam pada itu, Pengerusi dan Penganjur Program Perak ‘AED Save A Life’, Dr Cheah Pike Kuan berkata, setakat ini pihaknya sudah memasang empat AED di tempat tumpuan awam sekitar Ipoh iaitu di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Taman Rekreasi Dr Seenivasagam, Pusat Akuatik Tuanku Zara dan Padang Ipoh.

“Enam lagi lokasi kita sedang kenal pasti seperti di Bukit Kledang, Stadium Ipoh dan beberapa tempat lagi.

“Sebelum pemasangan kita perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan serta Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 5:21 PM