Muslim Care menyantuni komuniti Islam di Kampung Malandih Patalun dengan memberikan pelbagai sumbangan. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“RAKYAT Malaysia sememangnya pemurah dan kali ini rezeki dikongsi bersama kami,” kata Ando Asadil, 55.

Ketua Kampung Malandih Patalun Zamboanga City itu berkata, komuniti Islam di perkampungan itu hidup dalam serba kekurangan kerana faktor ekonomi dan pembangunan.

Menurutnya, majoriti penduduk kampung itu hanya menangkap ikan untuk menyara kehidupan namun hasilnya tidak menentu selain melakukan kerja kampung.

“Walaupun kehidupan serba kekurangan, kami tidak menagih pertolongan namun bersyukur jika ada yang sudi menyalurkan bantuan untuk meringankan beban.

“Selain itu, banyak lagi keperluan infrastruktur yang perlu ditambah baik khususnya sistem air kerana penduduk masih menggunakan pam air bawah tanah untuk aktiviti harian,” katanya ditemui selepas program menyantuni komuniti Islam anjuran Muslim Care Malaysia (Muslim Care) di Kampung Malandih Patalun, Zamboanga City hari ini.

Kampung terletak di pesisir laut itu dihuni lebih 1,500 penduduk Islam dan masih memerlukan perhatian kerajaan kerana jauh dari pembangunan infrastruktur.

Dalam program itu, bantuan keperluan asas seperti beras dan gula diberikan kepada penduduk kampung.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma juga diberikan.

“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada Muslim Care dan rakyat Malaysia kerana sudi menghulurkan bantuan kepada saudara sesama Islam.

“Bantuan ini menjadi pemangkin semangat untuk kami terus berusaha dan membangunkan kampung ini khususnya untuk generasi akan datang agar tidak terus dihimpit kemiskinan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • MILF dah jamin keselamatan Muslim Care
  • Bahaya dalam tenang
  • Muslim Care dilarang ke Pulau Basilan
  • Muslim Care masih teruskan rundingan
  • Diarah meninggalkan Pulau Basilan
  • Pemeriksaan ketat jamin keselamatan
  • Santuni masyarakat Islam Pulau Basilan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 5:55 PM