KEHIDUPAN penduduk di Pulau Basilan aman selepas diberi kuasa autonomi oleh Filipina.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KUASA autonomi yang diberikan kerajaan Filipina pada penghujung Januari lalu kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) selepas pungutan suara membabitkan kira-kira 2.8 juta penduduk dilihat belum diterjemahkan sepenuhnya kepada Bangsamoro.

Kisah dan harapan mengenai masa depan komuniti Islam di selatan Filipina itu dikongsi penduduk Pulau Basilan bersama saya.

“Ketika feri mula bergerak menuju ke Lamitan City, Pulau Basilan, saya sempat meninjau keadaan feri yang sesak dipenuhi penumpang dengan membawa pelbagai barangan keperluan harian yang dibeli dari Zamboanga City.

Saya kemudian disapa seorang lelaki berusia lewat 30-an sebaik duduk di kerusi luar dek feri ketika menikmati pemandangan indah pulau kecil di sepanjang perjalanan yang mengambil masa satu jam 45 minit itu.

Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Abu Bakar itu ternyata teruja apabila mengetahui saya dan rombongan dari Malaysia datang untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti Islam yang masih memerlukan pertolongan saudara seagama dari pelbagai sudut.

Abu Bakar memaklumkan sejak kuasa autonomi diberikan kepada MILF, suasana kehidupan di Pulau Basilan jauh lebih stabil berbanding sebelum ini yang sering berlaku tembak-menembak antara tentera kerajaan dan MILF.

SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia mendengar masalah penduduk.

Saya dimaklumkan penduduk mengharapkan kuasa autonomi yang diberikan bukan sekadar ‘perjanjian atas kertas’, tetapi dapat diterjemahkan kepada pembangunan dari pelbagai sudut khususnya ekonomi dan pendidikan di selatan Filipina selain keamanan berpanjangan.

Nelayan itu memaklumkan, sudah tiba masanya Kepulauan Mindanao yang majoritinya dihuni komuniti Islam menerima layanan lebih adil daripada pemerintah khususnya pembangunan menyeluruh sama seperti diterima rakyat bahagian lain.

Saya melihat permintaan itu tidak keterlaluan, malah ia sepatutnya sudah lama diterima komuniti Islam tanpa perlu wujud jurang agama dan bangsa kerana pelbagai sektor boleh diterokai di kawasan ini untuk membangunkan ekonomi domestik dan keluar daripada kemiskinan tegar.

Pada hemat saya, selatan Filipina khususnya di Pulau Basilan perlu menerima suntikan kemodenan, namun pada masa sama terus menegakkan syiar Islam seperti yang diperjuangkan sejak puluhan tahun lalu dengan mengangkat senjata dan pertumpahan darah.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan turut menyatakan kesungguhan dan berazam untuk kembali ke Pulau Basilan bagi menyempurnakan misi yang tertangguh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:40 AM