ADAM Rosly di pekarangan mahkamah, semalam.
Nor Azura Abdul Jalil


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak rayuan sabitan dan hukuman membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah berhubung enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan Adam Rosly yang diwakili peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir.

Dalam keputusannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah tidak berhasrat untuk mengganggu keputusan dibuat Mahkamah Sesyen yang selesai mendengar perbicaraan kes itu selain berpendapat tiada keperluan untuk mahkamah ini masuk campur dalam keputusan sabitan dan hukuman yang sudah diputuskan.

“Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan dan mengekalkan hukuman yang ditetapkan,” katanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim bertindak selaku responden.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Nizam Bashir memberitahu pihaknya memfailkan notis penangguhan hukuman, semalam sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Adam Rosly merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada along sebanyak RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang pada 22 Februari 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:50 AM