TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap 11 pertuduhan menghantar gambar lucah kepada seorang wanita. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PADAH menghantar 11 gambar berunsur lucah menerusi aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu, seorang jurujual kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Said Zakariah Kamal Admi, 27, yang juga orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas 11 pertuduhan dihadapinya dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah sifatnya ke nombor telefon seorang wanita berusia 25 tahun menerusi aplikasi WhatsApp dengan niat menyakitkan hati wanita terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tempoh kira-kira seminit iaitu antara 9.06 malam hingga 9.07 malam di Bandar Baru Uda, 29 Julai 2017.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan wang jaminan ditarik balik sekiranya OKS mengganggu wanita berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Johor Bahru pula, tertuduh, Mohamad Said Zakariah mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan cara menghantar komunikasi melalui WhatsApp kepada wanita terbabit.

Ia dilakukan dengan mengancam hendak mendatangkan bencana kepada nama baik wanita itu sehingga menyebabkan dia berasa takut antara 9.06 malam hingga 9.16 malam di lokasi dan tarikh sama.

Bagi perbuatan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Hajar Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu wanita itu.

Di kedua-dua mahkamah, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chai Ing Hien, yang terdahulu mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, tertuduh diwakili peguam Farhan Maaruf memohon ikat jamin lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan, tambahan pula isteri tertuduh yang juga suri rumah sarat hamil lapan bulan.

Difahamkan, wanita dalam kes dihadapi lelaki itu adalah bekas teman wanitanya.

Kedua-dua kes akan disebut semula pada 23 Disember ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 12:16 PM