ANTARA tukang urut warga Thailand cuba melarikan diri melalui tingkap bagi mengelak ditahan ketika operasi Imigresen. FOTO IHSAN JIM
ANTARA tukang urut warga Thailand cuba melarikan diri melalui tingkap bagi mengelak ditahan ketika operasi Imigresen. FOTO IHSAN JIM
Nor Farhani Che Ad


CUBAAN beberapa tukang urut warga Thailand melarikan diri melalui tingkap belakang sebuah premis, gagal apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan diadakan di dua rumah urut sekitar Sungai Petani, semalam.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi selama lebih dua jam bermula 9 malam, seramai sembilan wanita warga Thailand ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Operasi dijalankan berdasarkan maklumat disalurkan orang ramai selain hasil risikan anggota penguat kuasa JIM Kedah.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis membawa kepada penahanan sembilan wanita warga Thailand yang berkerja sebagai tukang urut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua ditahan berusia antara 29 sehingga 34 tahun.

Katanya, tiga saman turut dikeluarkan kepada dua wanita warga tempatan berusia 49 dan 51 tahun serta seorang warga Bangladesh berusia 30 tahun.

Zuhair berkata, pihaknya turut merampas kondom, minyak pelincir, pelbagai minyak urut dan kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit bagi tujuan siasatan.

Katanya, kegiatan tidak bermoral itu ditawarkan dengan harga dipercayai sekitar RM60 sehingga RM170.

Beliau berkata, semua wanita warga asing itu ditahan atas kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Semua wanita ini didapati melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Mereka kemudian dibawa ke lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:51 PM
Digital NSTP Subscribe