Peguam bela, Sangeet Kaur Deo (dua kiri) dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (tiga kanan) pada sidang media selepas kes Saminathan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
Peguam bela, Sangeet Kaur Deo (dua kiri) dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (tiga kanan) pada sidang media selepas kes Saminathan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), boleh membuat permohonan berkaitan ikat jamin di mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menghalang sepenuhnya mahkamah daripada menimbangkan permohonan ikat jamin, adalah tidak berperlembagaan.

Permohonan ikat jamin mengikut peruntukan itu adalah membabitkan individu yang didakwa mengikut kesalahan di bawah Bahagian VIA Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan keganasan.

Dalam keputusannya, Mohd Nazlan berkata, sebarang pengambilan kuasa kehakiman oleh mana-mana cabang lain dalam kerajaan melanggar kesucian doktrin pengasingan kuasa serta melanggar struktur dasar perlembagaan.

“Oleh itu, peruntukan Seksyen 13 SOSMA ultra-vires (bertentangan) Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan kerana ia mengambil kuasa budi bicara daripada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Nazlan menegaskan keputusan itu tidak bermakna bahawa pemohon dalam kes ini mesti dibenarkan diikat jamin.

Sebaik saja prosiding selesai, kelihatan Saminantan mengalirkan air mata dan memeluk keluarganya.

Pada prosiding itu, Saminathan diwakili peguam Sangeet Kaur Deo, manakala Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi hadir selaku responden.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Azlina memaklumkan pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut sama ada untuk merayu atau sebaliknya.

Saminathan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Perbuatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau niat digunakan, jika sabit kesalahan.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit, di pejabat EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, Melaka, jam 10.25 pagi, pada 10 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 2:45 PM
Digital NSTP Subscribe