KERETA milik mangsa. FOTO Ihsan Honn.
Muhaamad Hafis Nawawi


NIAT lelaki ingin membeli kereta baharu untuk keselesaan keluarga dengan menjual kereta lama tidak kesampaian apabila disamun individu yang menyamar sebagai pembeli sebelum melarikan kenderaan itu, di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Honn, 31, berkata, dia pada mulanya memuat naik iklan untuk menjual Mercedes Benz warna hitam miliknya di laman Mudah.my, pada 18 November lalu.

Menurutnya, niatnya untuk menjual kereta itu kerana ingin menukar kenderaan yang lebih besar selepas berkahwin dan memiliki anak.

“Tidak lama kemudian saya dihubungi seorang lelaki yang mendakwa ejen kepada penjual kereta terpakai dan berminat ingin membeli kenderaan itu.

“Kami kemudian bertemu di Bukit Jalil jam 11 pagi kelmarin untuk dia melihat kereta itu dan membuat pandu uji,” katanya.

Honn berkata, lelaki itu kemudian mengajaknya ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Wangsa maju, selepas itu untuk membuat pemeriksaan.

“Namun sebaik tiba di PUSPAKOM, lelaki terbabit terus mengeluarkan pisau dan mengacu kepada saya serta mengarahkan keluar.

“Dia terus memecut laju kereta itu bersama barangan di dalam kereta,” katanya.

Honn kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Mohd Hazazi Othman mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 4:09 PM