MUFTI Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Nik Sukry Ramli


“LEBIH bagus jika mereka (anak) menamatkan persekolahan terlebih dahulu sebelum (membenarkan) mereka berkahwin,” demikian saranan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Beliau berpendapat, keputusan ibu bapa membenarkan anak mereka berkahwin pada usia terlalu muda tidak banyak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh menimbulkan masalah lain.

“Ada antara ibu bapa hidup dalam kedaifan memberi alasan membenarkan anak mereka berkahwin pada usia belasan tahun kerana mahu memberi peluang kepada mereka membina kehidupan lebih baik.

“Sebenarnya ini bukanlah jalan penyelesaian terbaik, kalau kita dalam kesusahan sekali pun, jangan mengambil tindakan seperti ini, sebaliknya mereka (ibu bapa) terlebih dahulu boleh memohon pelbagai bantuan disediakan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pendidikan adalah perkara terpenting untuk anak dan biarlah mereka menghabiskan dahulu persekolahan...tidak kisahlah anak itu lelaki atau perempuan, beri peluang mereka belajar sekurang-kurangnya sehingga tamat persekolahan menengah,” katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Beliau turut mengakui kurang selesa jika melihat anak muda berkahwin dengan lelaki atau perempuan lebih berusia.

Katanya, walaupun undang-undang membenarkan perkahwinan antara lelaki atau perempuan berusia 16 tahun di Pahang, namun ia tidak bermakna perkara itu boleh dijadikan alasan.

“Saya tidak berapa suka dengan perkahwinan (muda) ini... perkara ini bukanlah sesuai untuk semua, cuma kadang-kala ia (perkahwinan) terpaksa dilakukan atas alasan tertentu antaranya seperti terlanjur sebelum mempunyai ikatan sah dan terjebak dalam pergaulan terlalu bebas.

“Kita tidak boleh menjadikan perkahwinan di usia muda sebagai perkara membebankan, sedangkan agama Islam itu sendiri untuk memudahkan penganutnya,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan, walaupun terdapat peruntukan undang-undang, mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di bawah usia dibenarkan perlu mendapatkan kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Beliau turut menyarankan pasangan ingin melangsungkan perkahwinan mendapatkan maklumat tepat selain mencari keserasian terlebih dahulu dengan pasangan, sebelum membuat keputusan muktamad.

Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 Negeri Pahang, had umur untuk berkahwin ditetapkan pada usia 16 tahun ke atas bagi lelaki dan perempuan.

Kerajaan negeri sebelum ini tidak berhasrat untuk menaikkan had umur berkenaan kepada 18 tahun seperti dicadangkan Kerajaan Persekutuan memandangkan perkahwinan bawah umur di negeri ini terlalu sedikit dan bukan isu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 12:35 AM