CHE Mat (tiga dari kiri) dengan Prof Dr Shamsul melakukan pertukaran dokumen pada majlis menandatangani MoA atas pelantikan UTM sebagai ejen PPZ-MAIWP dan perasmian Kaunter Zakat di Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
CHE Mat (tiga dari kiri) dengan Prof Dr Shamsul melakukan pertukaran dokumen pada majlis menandatangani MoA atas pelantikan UTM sebagai ejen PPZ-MAIWP dan perasmian Kaunter Zakat di Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam bagi membuka lebih banyak kaunter kutipan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, ketika ini, hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memiliki kaunter zakat dan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaya dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi tujuan berkenaan.

“Kita mahu memperluaskan lagi kaunter kutipan zakat bagi memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada orang ramai.

“Selain itu, pihak universiti juga akan mendapat manfaat kerana 3.5 peratus daripada jumlah kutipan zakat akan dikembalikan, faedah sama seperti ejen pengutip yang lain,” katanya ketika ditemui media pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PPZ-MAIWP dan UTM di UTM Kampus Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, UTM diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar manakala PPZ-MAIWP diwakili Pengerusinya, Datuk Che Mat Che Ali.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan, Pro Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof Dr Shamsul Sahibuddin.

Menerusi perjanjian itu, UTM Kampus Kuala Lumpur merekodkan sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Lembah Klang yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat selain ejen pertama yang menyediakan perkhidmatan kaunter kepada warga universiti, komuniti dan badan korporat.

Pada majlis yang sama, Che Mat dan Dr Wahid turut merasmikan Kaunter Kutipan Zakat UTMKL yang menyediakan perkhidmatan kutipan zakat untuk warga universiti dan orang ramai.

Kaunter yang terletak di Masjid UTM Kuala Lumpur itu beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Ia dilengkapi dengan sistem dalam talian bagi membolehkan pembayar zakat menerima resit sebaik saja pembayaran dilakukan dan antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembayaran zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan sebagainya.

Sementara itu, Dr Wahid berkata, UTM bekerjasama dengan PPZ-MAIWP sejak 2012 melalui program potongan gaji berkala bagi pembayaran zakat pendapatan.

Kata beliau, menerusi kerjasama itu, MAIWP mengembalikan sebanyak 37.5 peratus daripada hasil kutipan berkenaan kepada UTM untuk diagihkan kepada asnaf.

“Sistem wakalah yang digunakan juga dapat membantu pelajar daripada kalangan asnaf.

“Semoga manfaat daripada pelantikan sebagai ejen kutipan zakat dan pembukaan kaunter kutipan ini, UTM dapat melipatgandakan lagi program bantuan kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 7:00 AM