ZULKIFLI (kiri) memberi taklimat kepada sukarelawan Muslim Care di klia2, Sepang, sebelum berlepas ke Dhaka untuk menyantuni pelarian Rohingya di Kem Kutupalong, Bangladesh, malam ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Amir Abd Hamid


KUMPULAN misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), hari ini, berangkat ke Dhaka untuk menyantuni pelarian Rohingya di Kem Kutupalong, Bangladesh.

Misi membabitkan sembilan sukarelawan itu berlepas pada 10 malam menggunakan penerbangan Air Asia X pesawat AK71 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, misi 10 hari itu turut disertai lima jururawat bersama seorang doktor pakar.

Beliau berkata, pasukan perubatan terbabit akan memberi latihan kepada pelarian menjadi jururawat perbidanan sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi di kem penempatan sementara.

“Muslim Care terpanggil untuk memberi latihan perbidanan kepada pelarian memandangkan kadar kelahiran tinggi dicatatkan di kem penempatan Rohingya itu.

“Mengikut angka dikeluarkan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), terdapat 91,000 bayi dilahirkan di kem selepas operasi ketenteraan ke atas perkampungan Rohingya di Arakan, dua tahun lalu.

“Mereka dilahirkan dalam serba kekurangan, tanpa kemudahan perubatan serta pemantauan doktor seperti kita. Jadi penting untuk kita memberi pendidikan dan latihan supaya mereka dapat membantu pelarian ketika proses melahirkan anak,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di klia2 sebelum berlepas mengetuai misi itu.

Lima jururawat kebidanan dari Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak Avisena (ACWSH) menyertai misi ialah Roslina Saidin, Nor Azniza Abd Maghrith, Siti Nur Adila Mohammad Asmaon, Hasnani Andi dan Noraini Ibrahim bersama Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Fairuz A’shikin A Kadir.

Turut menyertai misi, Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Mizan Aslam.

Zulkifli berkata, bantuan perubatan termasuk rawatan dan sumbangan ubat-ubatan turut dilaksanakan.

Beliau berkata, barang keperluan seperti beras, minyak masak, cili kering, ikan masin selain tudung dan telekung akan diagihkan kepada pelarian Rohingya di kem berkenaan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 10:20 PM