PANDANGAN dari udara Jalan Rantau Panjang Lama dekat Kampung Pohon Tanjung yang ditutup kerana limpahan air Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.
PANDANGAN dari udara Jalan Rantau Panjang Lama dekat Kampung Pohon Tanjung yang ditutup kerana limpahan air Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 9,391 orang sehingga 6 petang, berbanding 8,809 orang pada 4 petang.

Mereka membabitkan 3,198 keluarga yang ditempatkan di 83 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, mangsa banjir di Pasir Mas meningkat kepada 5,279 mangsa daripada 2,093 keluarga di 26 PPS, berbanding hanya 4,774 orang pada 4 petang.

Mangsa banjir di 20 PPS di Kuala Krai pula 1,166 orang daripada 288 keluarga, manakala Kota Bharu mencatatkan 730 mangsa daripada 211 keluarga di lima PPS.

Pasir Puteh membuka lapan PPS untuk menempatkan 784 mangsa daripada 206 keluarga, sementara 498 mangsa daripada 142 keluarga ditempatkan di 11 PPS di Tanah Merah.

Mangsa banjir di Machang merekodkan 210 orang daripada 64 keluarga yang menghuni enam PPS dan Bachok mencatatkan 260 mangsa daripada 61 keluarga di dua PPS.

Bagi Jeli, 179 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di dua PPS dan jumlah mangsa di Tumpat cecah 313 orang daripada 99 keluarga di tiga PPS.

Dalam pada itu, infobanjir.water.gov.my mencatatkan dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang - 10.60 meter (m) dan Sungai Golok di Jenob 23.96 m.

Sungai Kelantan di Kuala Krai pula berada pada paras amaran dengan bacaan 24.64m, termasuk Sungai Lebir di Tualang (32.90m) yang berada pada paras sama.

Sebanyak 30 jalan ditutup kepada kenderaan ringan dan semua jenis kenderaan masing-masing lapan di Kuala Krai, enam di Machang, 10 di Pasir Mas, empat di Pasir Puteh dan dua di Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 7:40 PM