Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PENGUNJUNG pantai Ban Pecah, Kuala Kurau, Parit Buntar gempar apabila seekor buaya besar muncul di kawasan mandi-manda pantai itu, semalam.

Buaya sepanjang lebih tiga meter itu kelihatan berenang berhampiran pesisir pantai hingga menimbulkan keresahan penduduk dan pengunjung pantai.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Sopian, 40, berkata, kehadiran buaya itu disedari penduduk kira-kira 11 pagi semalam dan berenang menghampiri kawasan riadah di pantai itu.

Menurutnya, kelibat buaya itu dapat dilihat dari jalan utama dan sempat dirakam beberapa pengunjung.

“Saya sendiri melihat buaya itu timbul kira 15 meter dari pantai dan dari pengamatan mata kasar buaya itu agak besar dan panjang melebihi tiga meter.

“Pihak berkaitan perlu mengambil serius perkara ini kerana ia boleh mengancam nyawa nelayan dan pengunjung yang berkunjung ke pantai ini, ” katanya ketika ditemui.

KELIBAT buaya yang dilihat di pantai Ban Pecah. FOTO ihsan pembaca

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff mengesahkan mendapat maklumat mengenai kemunculan reptilia di kawasan pantai terbabit.

“Susulan maklumat diterima beberapa pegawai PERHILITAN Perak ke lokasi berkenaan dan turut melihat buaya terbabit.

“Kita percaya buaya itu ‘mudik’ dari Sungai Kurau hingga ke kawasan pantai susulan musim hujan dan air pasang besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya hanya bertindak memantau reptilia terbabit dan hasil pemantauan hari ini tidak menemui reptilia berkenaan dan percaya ia akan berenang kembali ke sungai habitat asalnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mandi di kawasan pantai berkenaan buat masa ini dan lebih penting nelayan atau pemancing tidak mengganggu buaya itu kerana boleh membahayakan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 2:37 PM