Ruwaida Md Zain


POLIS melupuskan 5,756 unit barang kes judi atas talian dianggarkan bernilai RM2.8 juta membabitkan kes 2016 hingga 2018 di sekitar Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pelupusan barang kes perjudian itu terdiri daripada 4,677 komputer, 1,025 komputer riba serta 54 mesin simulator.

“Semua barang rampasan itu membabitkan 537 kertas siasatan dari 2016 hingga 2018 yang sudah selesai disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mendapat arahan pelupusan mahkamah.

“Semua barang kes ini membabitkan 922 operasi yang berjaya dilakukan oleh polis dan membabitkan 1,454 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan gimik pelupusan barang terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Turut hadir Majistret Mahkamah Klang, Muhammad Azzam Zainal Abidin serta Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Andy Arman Masrom.


Shamsul Amar (kanan) melakukan gimik pelupusan barang kes judi atas talian di perkarangan IPD Klang Selatan. Foto Faiz Anuar

Shamsul Amar berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan berterusan bagi membendung kegiatan perjudian itu.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang menjalankan kegiatan ini bagi menjamin kawasan IPD Klang Selatan bebas daripada kegiatan atau aktiviti perjudian haram.

“Kita juga dapat kerjasama baik dengan semua agensi berkaitan menerusi operasi bersepadu terutama MPK, SYABAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan susulan selepas tindakan serbuan ke atas premis terbabit.

“Selepas serbuan polis, MPK, SYABAS dan TNB akan mengambil tindakan ke atas premis terbabit.

“Selesai siasatan, kita bawa ke mahkamah untuk pertuduhan dan pelupusan barang kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pelupusan barangan dilakukan menggunakan kaedah E-waste sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Ini juga sebagai usaha menyahut pelaksanaan inisiatif Amalan hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau melalui ‘GO GREEN PDRM’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:11 PM