FOTO hiasan.
BERNAMA

RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Melalui pindaan yang dicadangkan, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen, menurut rang undang-undang itu.

Bacaan kali pertama pindaan rang undang-undang Perlembagaan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

“Saya memohon mengemukakan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019. Bacaan kali kedua dan ketiga pada hari mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, 2020,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Mengikut rang undang-undang itu, pindaan berkenaan membabitkan cadangan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:45 PM