Hadzlihady Hassan


“SAYA hanya tahu anak terbabit kemalangan melalui telefon pintar selepas ditunjukkan video oleh rakan-rakannya,” kata Moey Kah Tiang, 64, saksi perbicaraan kes bekas pekerja salon, K Vaitheswaran, 21, yang dituduh menyebabkan kematian anaknya, Moey Yun Peng, 20, dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, Januari lalu.

Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Kah Tiang yang juga pesara memberitahu demikian selepas disoal Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui lebih lanjut kejadian menimpa mendiang anaknya, selepas sekumpulan rakan Yun Peng datang ke rumahnya di Bukit Mertajam pada 3 petang, 21 Januari 2019.

“Mereka bertanyakan kepada saya sama ada Yun Peng ada di rumah dan saya menjawab yang anak belum pulang kerana keluar menyambut parti hari jadi di pulau (Georgetown).

“Mereka kemudian cuba menenangkan saya sebelum memberitahu ada video tular mengenai kemalangan di Jambatan Pulau Pinang yang menyerupai kereta saya (jenis SUV), dipandu oleh Yun Peng, terbabit kemalangan dengan Toyota Vios,” katanya.

Ditanya sama ada mendiang anaknya pernah memandu kenderaan jenis utiliti sukan itu, Kah Tiang menjawab ya.


VAITHESWARAN (kanan) ditemani ahli keluarga ketika hadir perbicaraan kes berkaitannya di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Mikail Ong

Dia juga memberitahu yang Yun Peng mempunyai Lesen Percubaan Malaysia (Lesen P) dan dia dapat mengecam SUV itu berdasarkan pelekat “P” ketika ia dinaikkan dari dasar laut.

Sementara itu, saksi kedua yang juga peronda Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Anuar Abdul Rahman, 37, memberitahu mahkamah bahawa, dimaklum orang awam terdapat sebuah kenderaan jatuh ke laut selepas kemalangan dengan Toyota Vios.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, saya mengawal trafik sebelum mengambil gambar kerosakan dan kemalangan.

“Melalui gambar, didapati ‘parapet’ di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai mengalami kerosakan di bahagian atas dan satu tiang,” katanya.

Anuar berkata, tujuan beliau mengambil gambar itu adalah untuk membuat laporan polis dan juga laporan kerosakan.

Perbicaraan itu dikendalikan Yusaini dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria, manakala Vaitheswaran diwakili peguam S Parameswaran dan K Selva.

Ahzah Fariz kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 21 Januari dan 10 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:17 PM