AL-Sultan Abdullah menerima anugerah yang disampaikan Shaikh Salman pada 7 November lalu. FOTO Istana Negara.
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendedikasikan anugerah AFC Diamond of Asia 2019 yang dianugerahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kepada Almarhum ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Anugerah itu atas pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad kepada sukan bola sepak di benua ini.

Dalam titah penerimaan baginda yang telah direkodkan lebih awal, pada Majlis Anugerah Tahunan AFC Hong Kong 2019, yang berlangsung di Hong Kong Convention and Exhibition Centre pada malam Isnin, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda bersyukur dapat memberi penghormatan kepada legasi ayahanda baginda yang telah banyak menyumbang terhadap bola sepak di Malaysia dan Asia.

“Baginda merupakan sumber inspirasi beta, dan kepada baginda, beta dedikasikan anugerah ini,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut memberikan penghormatan kepada rakan-rakan yang mengorbankan masa dan nasihat bernas mereka selama ini, dan membawa bola sepak Asia kepada tahap yang ada sekarang ini.

Al-Sultan Abdullah merupakan penerima anugerah yang ke-15, menuruti jejak Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menerimanya pada 2011, dan menjadi satu-satunya ayah dan anak yang menerima anugerah individu tertinggi dalam sejarah bola sepak Asia.

Anugerah itu disampaikan kepada Al-Sultan Abdullah lebih awal oleh Presiden AFC Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dalam satu majlis khas di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 7 November lalu.

Dalam ucapannya baginda bertitah, bola sepak merupakan darah daging baginda sejak kecil dan adalah satu penghormatan untuk berada dalam senarai penerima dalam kalangan personaliti tersohor dan lagenda dalam bola sepak Asia.

“Kita telah membuat langkah besar dalam beberapa tahun ini dan saya yakin bahawa AFC akan terus membawakan kegembiraan bermain, menyatukan dan mempelbagaikan komuniti dan menggunakan asasnya yang kukuh, untuk mendapatkan lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” titah baginda.

Diiktiraf sebagai salah satu suara paling progresif dalam bola sepak Malaysia dan Asia, Yang di-Pertuan Agong amat tegas dalam meningkatkan integriti permainan itu dan menetapkan asas, dalam menghapuskan manipulasi permainan itu, sewaktu baginda menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1994.

Baginda juga mempengerusikan Pasukan Petugas Tadbir Urus AFC yang bertanggungjawab dalam melakukan pembaharuan, untuk membantu AFC mencapai objektif visi dan misi sambil memastikan mencapai standard profesionalisme tertinggi dan tadbir urus di konfederasi berkenaan.

Baginda menjadi Timbalan Presiden FAM pada 2007 dan sekali lagi dari 2010 hingga 2014, sebelum memegang jawatan presiden pada 2014, yang mana baginda telah memperkenalkan pelbagai program komprehensif untuk meningkatkan dan membangunkan bola sepak di Malaysia.

Terpilih sebagai Timbalan Presiden AFC pada 2002, baginda mendedikasikan perkhidmatan cemerlang hampir 20 tahun dalam beberapa jawatan utama, termasuklah Pengerusi Jawatankuasaa Penganjur Piala Asia AFC Australia 2015, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal AFC dan juga Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Baginda yang dianggap bukan hanya sekadar pembimbing bola sepak Asia, malah diperakui sumbangan baginda kepada dunia bola sepak, membuatkan baginda terpilih untuk menganggotai Majlis FIFA pada 2015 yang mana baginda memberikan khidmatnya sehingga 2019.

Baginda juga berkhidmat sebagai ahli kepada Jawatankuasa Teknikal FIFA pada 1995 dan juga Jawatankuasa Penganjur Piala Konfederasi FIFA 2003 di Perancis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah tidak dapat menghadiri majlis itu kerana pada masa yang sama baginda berada dalam lawatan peribadi empat hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang berakhir Isnin.

Ahmad Fadil berkata, lawatan itu adalah atas jemputan peribadi Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan bersempena perlumbaan Formula One (F1) Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix 2019.

Katanya, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di ibu negara kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:12 PM