MOHD Zakhwan (kanan) meninjau lokasi kejadian jalan merekah dan mendap di laluan ke Ulu Tembeling. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


KEJADIAN tanah runtuh, tanah mendap serta rekahan pada jalan raya di Kuala Tahan ke Ulu Tembeling di sini, dikesan boleh membahayakan orang ramai terutama 2,000 penduduk yang menggunakan laluan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, rekahan jalan raya serta tanah runtuh di laluan Kampung Pagi menuju ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling.

“Turut berlaku mendapan tanah antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat berhampiran dengan Bukit Awan sepanjang 100 meter,” katanya.

Mohd Zakhwan berkata, kawasan tebing bukit yang runtuh dikesan berlaku di dua lokasi iaitu selepas simpang Kuala Sat ke Kampung Bantal berhampiran dengan jambatan Sungai Komel, di sini.

Beliau berkata, keadaan itu terjadi disebabkan hujan lebat beberapa hari serta perubahan angin monsun timur laut.

“Menurut laporan dan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), rekahan jalan raya itu disebabkan ada pergerakan tanah di bawah jalan akibat ada aliran air.

“Jalan itu bukan di bawah penyelenggaraan JKR dan seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. JKR meletakkan papan tanda amaran dan pihak yang bertanggungjawab dimaklumkan mengenai perkara itu.

“JKR akan memantau keadaan jalan itu dari semasa ke semasa kerana bimbang retakan ini menjadi teruk memandangkan keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sudah mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan mengambil tindakan segera dalam masa terdekat.

Beliau berharap semua pengguna berhati-hati dan mengelak melalui laluan itu terutama ketika hujan lebat kerana dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:45 AM