ANTARA penuntut UPNM yang terbabit hadir pada sambung bicara kes pembunuhan pelajar UPNM, Zulfarhan Osman yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ANTARA penuntut UPNM yang terbabit hadir pada sambung bicara kes pembunuhan pelajar UPNM, Zulfarhan Osman yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu oleh tertuduh kelima dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain bahawa ketika dia menggunakan seterika wap ke atas mangsa, ia dilakukan secara spontan.

Mohamad Shobirin Sabri, 23, berkata, perbuatan secara spontan itu dilakukan di bahagian kaki Zulfarhan selepas seseorang yang tidak dapat dipastikan menyerah seterika itu kepadanya.

“Pada 22 Mei 2017, 4.30 pagi, saya pergi ke bilik 4-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM dan saya ada dengar beberapa orang sedang menyoal siasat Zulfarhan mengenai kes kecurian barang di blok asrama itu.

“Selang beberapa minit, saya ingin keluar daripada bilik itu kerana kebetulan waktu itu saya mahu bersiap untuk solat Subuh di masjid.

“Ketika mahu keluar dari bilik, seseorang yang saya tidak pasti menyuruh saya menggunakan seterika wap kepada Zulfarhan dan saya secara spontan menggunakan seterika itu kepada Zulfarhan sekali sahaja.

“Selepas itu saya meletakkan seterika wap itu di atas meja dan terus kembali ke bilik saya di 5-2, blok penginapan asrama Jebat, UPNM,” katanya.

Saksi pembelaan kelima itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakilinya pada prosiding membela diri dalam kes pembunuhan Zulfarhan.

Sementara itu, pada sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, Mohamad Shobirin berkata, Zulfarhan menjerit “Jangan buat lagi” selain menarik kaki dan menepis ketika dia menekap seterika wap di bahagian kaki mangsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Februari 2020.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:09 PM