Wang tunai dan tukul besi antara yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


TIDAK amanah. Itu ungkapan sesuai buat lelaki apabila dia sanggup membocorkan rahsia wang yang disimpan majikannya kepada dua rakan yang kemudian mencuri wang itu di sebuah flat di Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku 1 pagi ketika mangsa yang juga peniaga berusia 28 tahun meletakkan kereta BMW miliknya di parkir flat itu.

Menurutnya, mangsa kemudian naik ke rumah dan tidur sebelum dia dihubungi pengerusi penduduk flat itu pada 9.30 pagi mengatakan cermin keretanya dipecah.

“Mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati wang tunai RM10,000 serta beberapa dokumen kerja miliknya hilang.

“Mangsa memberitahu yang dia meninggalkan keretanya itu dalam keadaan berkunci dengan baik sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis menjalankan siasatan lanjut dan menahan pekerja mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil penahanan itu, suspek mengaku dia berpakat bersama dua lagi rakan dan membocorkan maklumat tempat mangsa menyimpan wang dalam kereta.

“Suspek memberitahu dia tahu majikannya itu ada menyimpan wang dalam beg yang diletakkan dalam kereta berkenaan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, dua lagi suspek masing-masing berusia 28 dan 19 tahun turut ditahan dan seorang daripadanya didapati memiliki rekod lampau kes jenayah serta dadah.

“Kita turut merampas wang tunai RM1,800 daripada suspek pertama manakala suspek kedua pula sempat memasukkan wang RM4,600 ke akaun adiknya.

“Selain itu, wang tunai RM500 turut dirampas daripada suspek ketiga dan semua wang terbabit adalah milik mangsa yang dicuri mereka,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas tukul besi yang dipercayai digunakan suspek ketika memecahkan cermin kereta mangsa dan juga sebuah motosikal Honda EX-5.

“Tiga suspek terbabit kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 3:07 PM